Rabu, 25 Julai 2012

LATIHAN KEFAHAMAN 1


LATIHAN KEFAHAMAN 1
Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.
Hamzah adalah antara murid yang pandai dalam Kelas Enam Dahlia tetapi dia gagap sedikit apabila bercakap. Dia pernah dimalukan oleh rakan-rakan sekelasnya apabila dia menyatakan bahawa cita-citanya untuk menjadi peguam. Mereka ketawa berdekah-dekah. Masih panas dalam ingatannya akan sindiran kawan-kawan pada tahun lepas. "Hai, peguam gagap!" Sejak hari itu, dia telah dijadikan bahan ketawa oleh mereka. Dia berasa sangat sedih.

    Pertandingan pidato peringkat sekolah telah diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Hamzah mendaftarkan namanya secara senyap-senyap. Dia bukan malu tetapi bimbang ditertawakan oleh rakan-rakannya. Dia meminta panduan daripada guru bahasanya, Cikgu Basir tentang teknik-teknik pidato yang berkesan. Langkah pertama ialah mendefinisikan tajuk. Setelah itu, setiap isi mesti dihurai dan diiringi contoh yang sesuai. Gunakan perkataan-perkataan yang sesuai ketika berpidato. Akhirnya, berilah kesimpulan yang konkrit sebagai rumusan daripada syarahan itu. Teks mesti dihafal.  Setelah lancar, barulah berlatih gaya persembahan. Hamzah berlatih bersungguh-sungguh kerana dia berazam untuk mengatasi kegagapannya.

      Pada hari pertandingan pidato berlangsung, Hamzah telah dipersilakan oleh Pengerusi Majlis ke pentas sebagai pemidato terakhir. Hamzah dengan berani tampil ke pentas. Dia mempersembahkan pidatonya dengan penuh gaya. Para penonton di dalam dewan itu terdiam kerana terpukau dengan pidatonya yang cukup berkesan dan menarik. Hamzah telah diumumkan sebagai johan dan akan mewakili sekolah ke peringkat seterusnya. Hamzah  dinobatkan sebagai pemidato terbaik. Dia amat berterima kasih kepada Cikgu Basir. Segala panduan beliau dipatuhinya. Kawan-kawan yang selalu mengejeknya terasa malu dan meminta maaf. Hamzah bertambah yakin, dia akan menjadi seorang peguam yang disegani.


1.    Selepas diumum sebagai johan dalam pertandingan itu
A         Hamzah sangat malu kepada rakan-rakannya
B         kawan-kawan meminta maaf kepadanya
C         teman-teman sekelasnya mengejeknya
D         dia berasa sungguh sedih

2.    Apakah tindakan awal Hamzah menyertai pidato?
A         Merangka sendiri teks ucapannya
B         Mendefinisikan teks ucapannya
C         Mendaftarkan diri
D         Menghafal teks

     3.    Bagaimanakah Hamzah memenangi pertandingan itu?
            A         Yakin dan sangat pemaaf
            B         Bercita-cita tinggi
            C         Berani menyahut cabaran dan tidak segan
            D         Ada kesungguhan dan mematuhi panduan guru

     4.    Pilih penyataan yang benar tentang petikan tersebut
            A         Hamzah ialah seorang yang sangat pemalu
            B         Hamzah bertekad untuk mengatasi kegagapannya
            C         Hamzah menyuruh Cikgu Basir supaya menulis teks untuknya
            D         Hamzah bercita-cita untuk menjadi peguam setelah memenangi pidatonya

      5.   Rangkai kata kesimpulan yang konkrit dalam petikan bermaksud
            A         penggulungan isi yang jelas
            B         huraian yang mudah difahami
            C         mengikut pendapat sendiri
            D         ucapan yang bersemangat


   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan