Khamis, 26 Julai 2012

KARANGAN AUTOBIOGRAFI 2


CONTOH KARANGAN AUTOBIOGRAFI 2
Aku Sebuah Kereta

Nama aku Wira. Aku ialah sebuah kereta buatan Malaysia. Aku dibuat daripada besi, plastik, getah dan kaca. Aku mempunyai badan, stereng, kerusi dan roda. Stereng, brek dan pemacu aku berfungsi sebagai alat mengawal kenderaan.
Aku dibuat di sebuah kilang kenderaan di Shah Alam. Setelah semua komponen badanku lengkap dipasang, aku diuji dari segi ketahanan dan kualiti. Setelah siap diperiksa, aku dihantar ke pusat pameran jualan kereta. Sampai sahaja di pusat pameran menjual kereta, aku dan kawan-kawanku dipamerkan di ruang yang disediakan.
Badanku berwarna merah dan berharga RM55,000. Sejak hari itu, aku dan kawan-kawanku menunggu untuk dibeli oleh pelanggan. Pada suatu hari, datang seorang wanita yang hendak membeli sebuah kereta untuk kegunaannya sendiri. Dia tertarik akan warna aku. Setelah meneliti keistimewaan aku, dia pun membeli aku.
Kemudian, aku dipandu pulang ke rumahnya. Dia menggunakan aku hampir setiap hari tanpa henti. Saban hari aku digunakan oleh tuan aku untuk pergi bekerja dan menghantar anaknya ke sekolah. Pada waktu malam pula, aku digunakan oleh anak lelakinya untuk bersiar-siar dengan kawan-kawannya. Pada ketika inilah aku berasa sangat tidak selesa kerana diperlakukan secara kasar oleh anaknya.

Pada suatu malam, anak lelakinya menggunakan aku untuk menghadiri jamuan hari jadi kawannya. Aku dipandu dengan laju melebihi had yang dibenarkan oleh pihak berkuasa iaitu 130 km sejam. Aku gagal dikawal lalu terbabas dan terlanggar sebatang pokok. Badanku rosak teruk dan anak tuanku terkorban.
Aku telah dihantar ke bengkel untuk dibaik pulih. Setelah dibaiki aku telah dijual oleh tuan aku. Kini, aku tersadai kedai menjual kenderaan menunggu tuan yang baru. Namun begitu aku berbangga kerana  telah dapat berbakti kepada tuan aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan